Monday, January 13, 2014

Maulidur Rasul : Bukan Sekadar Sambutan

بسم الله الرحمن الرحيم

لقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Artinya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

Bersyukur kita kepada Allah SWT yang telah menjadikan kita sebagai orang Islam dan  umat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang diketahui umum, bulan Rabiu'l Awwal merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia.

Tetapi tidaklah menjadi satu kesalahan kepada sesiapa yang hendak menyambut hari kelahiran baginda SAW. Apa yang penting kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama dalam segenap aspek kehidupan.


Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa sirah Rasulullah SAW adalah menjadi perkara utama kepada setiap muslim bagi menghayati perjalanan hidup Rasululllah SAW. Ianya menjadi tafsir secara "praktikal" kepada Al-Quran yang mana bukan sahaja dibaca melalui tulisan atau halwa penyedap telinga setiap kali mendengarnya, bahkan suatu kenyataan yang sungguh-sungguh berlaku dengan petunjuk yang sebenarnya daripada Allah SWT.

Islam yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita mengandungi banyak nilai murni dan mencakupi dengan fitrah semula jadi manusia. Kerana sifat Islam itu sendiri adalah fitrah dan sesuai untuk seluruh manusia tanpa mengira kaum, zaman dan keadaan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran :

ومَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ

Artinya : " Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat sekelian alam."

Antara sirah yang masyhur yang perlu diambil sebagai pengajaran selaku seorang muslim amnya dan sebagai pelajar di Yaman khususnya. Kisah persaudaraan antara muhajirin dan ansar. Kehebatan Rasulullah SAW menanam asas keimanan yang kuat serta sifat pengorbanan yang tidak terhingga nilainya bukan sekadar kudrat yang termampu sahaja, telah menjadikan mereka sebagai satu umat yang kuat yang tidak dapat dihancurkan oleh mana-mana kuasa besar pada masa itu.

Kekuatan ukhuwah dan sifat Ithar iaitu mementingkan sahabat lebih daripada diri sendiri, yang ditanam di dalam hati-hati para sahabat baginda perlu kita contohi. Allah SWT telah merakamkan peristiwa hebat ini di dalam Al-Quran :

 والَّذينَ تَبَوَّؤُا الدَّارَ وَ الْإيمانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هاجَرَ إِلَيْهِمْ وَ لا يَجِدُونَ في صُدُورِهِمْ حاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَ يُؤْثِرُونَ عَلى أَنْفُسِهِمْ وَ لَوْ كانَ بِهِمْ خَصاصَةٌ وَ مَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Artinya : Dan orang-orang (Ansaar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita menghayati segala apa yang telah diajari oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Dengan menjadikan dua pusaka yang ditinggalkan oleh baginda SAW sebagai pedoman yang wajib diikuti oleh segenap lapisan masyarakat amnya dan pelajar agama khususnya. Dua pusaka tersebut ialah Al-quran dan Sunnah perjalanan hidup Rasulullah SAW.

Justeru itu, kami dari barisan kepimpinan PERMAYA mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW. Semoga segala penat lelah kita memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW dan agama Islam mendapat ganjaran pahala. Seterusnya melayakkan kita berada bersama-sama dengan Nabi SAW di dalam Syurga di akhirat kelak.

Sekian, wassalam.

" MENUJU PERMAYA BARU "

Muhammad Amru As'ari
Pengerusi,
Lujnah Dakwah & Tarbiyah
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2013/2014

0 comments:

Post a Comment