Friday, November 29, 2013

Sejarah Penubuhan PERMAYA.

          Persatuan Pelajar Malaysia Yaman atau nama ringkasnya PERMAYA adalah sebuah persatuan pelajar yang menggabungkan semua pelajar Malaysia yang sedang belajar di Republik Yaman. Kewujudan PERMAYA adalah kesinambungan daripada Badan Kebajikan Pelajar Malaysia yang ditubuhkan pada awal tahun 1997. Idea penubuhan PERMAYA telah dicetuskan oleh beberapa orang pelajar senior di Yaman setelah berlakunya pertambahan drastik bilangan pelajar. Maka secara rasmi PERMAYA ditubuhkan pada 31hb Disember 1997 bersamaan 1 Ramadhan 1418 Hijrah. Matlamat penubuhan PERMAYA adalah untuk mengeratkan silaturahim di kalangan pelajar Malaysia di bawah satu bumbung persatuan dan dalam masa yang sama bertindak sebagai badan kebajikan pelajar. Di samping itu juga, PERMAYA menjadi saluran dan suara rasmi pelajar Malaysia di Yaman.

Tujuan atau matlamat daripada penubuhannya adalah untuk :

  • Mengeratkan silaturahim di kalangan pelajar Malaysia di bawah satu bumbung persatuan.
  • Bertindak sebagai badan kebajikan pelajar.
  • Menjadi saluran dan suara rasmi pelajar Malaysia di Yaman.
  • Membimbing pelajar ke arah kecemerlangan akademik, ketakwaan dan aktif berpesatuan.
  • Berusaha merapatkan hubungan dengan pelajar lain di bumi Yaman dan juga dengan Persatuan Pelajar Malaysia di negara lain.
       
          Dengan kedatangan pihak Kedutaan Besar Malaysia ke Sana'a, Yaman pada September 1999 telah menambahkan lagi semangat PERMAYA untuk bergerak dengan lebih maju. PERMAYA telah berjaya merapatkan hubungan dengan pihak kedutaan demi merealisasikan cita - cita Kerajaan Malaysia untuk melihat wujudnya hubungan baik di antara pihak kedutaan, pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara. Setelah itu, PERMAYA telah diiktiraf secara rasmi sebagai persatuan pelajar Malaysia di bumi Yaman ini dan pihak PERMAYA telah melantik Encik Zainal bin Hamzah : Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Di Yaman sebagai Penaung yang pertama.

          Setelah berlakunya pertukaran Encik Zainal bin Hamzah ke Filipina dan tibanya Duta Besar Malaysia ke Yaman iaitu Dato' Haji Azman bin Mohd Nazir, PERMAYA dapat meneruskan hubungan baik yang sedia ada dan dengan hati yang terbuka Dato' Duta bersedia untuk menjadi Penaung PERMAYA yang kedua. Seterusnya beliau telah berbesar hati mengeluarkan Surat Akuan Pengiktirafan PERMAYA pada April 2002.

0 comments:

Post a Comment