Wednesday, August 20, 2014

Dari Meja Presiden : Kenyataan Rasmi Presiden Permaya

-Berhubung Keadaan Semasa dan Kedatangan Pelajar Wanita ke Yaman.-

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, pujian dan syukur terhadap Ilahi di atas segala nikmat yang diberi. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Kerana dengan pengorbanan dan ketabahan baginda dalam membawa risalah nubuwwah. Maka pada hari ini kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam.

Berhubung dengan keadaan semasa di Yaman pada hari ini, setelah penelitian dan pengamatan saya dan pimpinan Permaya. Berikutan suasana politik Yaman yang masih tidak menentu dan separa stabil. Kami mengharapkan agar seluruh mahasiswa dan para pelajar mengambil tanggungjawab dan kerjasama yang baik bagi membantu gerak kerja Permaya. Segala peraturan dan etika keselamatan yang telah dikeluarkan beberapa kali sebelum ini haruslah dipatuhi.

Namun begitu, diharapkan kepada ibubapa serta keluarga mahasiswa dan para pelajar yang berada di Malaysia. Jangan khuatir dan merasa bimbang. Keadaan di sini masih lagi terkawal dan tiada mengalami sebarang masalah. InsyaAllah pihak kami akan sentiasa memantau dan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Disamping itu kami dari pihak Permaya juga mengharapkan kepada mahasiswa dan para pelajar agar tidak membawa cerita dan menyebarkan berita yang tidak benar.

Waktu Sesuai Untuk Penghantaran Pelajar Baru.

Memandangkan Yaman merupakan diantara negara timur tengah yang masih aman. Pihak Permaya sangat mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar ke negara ini untuk menyambung pengajian diperingkat seterusnya. Justeru itu pihak kami telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan satu program bagi memudahkan perjalanan mereka-mereka yang ingin datang ke sini.

Program Selangkah ke Bumi Hikmah (SBH) telah berjalan hampir sebulan yang lalu dan sedang berjalan sehingga ke tarikh yang telah ditetapkan. Untuk maklumat lanjut boleh dilihat di dalam iklan kami di Facebook atau Blog.

Berhubung dengan perkara ini juga, terdapat para pelajar dan ibubapa yang menghubungi pihak kami secara langsung mahupun tidak langsung untuk menghantar anak perempuan mereka ke sini. Untuk pengetahuan umum, ingin saya tegaskan di sini, pihak kami hingga ke hari ini masih lagi tidak menggalakkan pelajar wanita untuk menyambung pengajian di sini kecuali mempunyai mahram (ibubapa, adik-beradik lelaki atau suami).

Ketetapan ini diambil sehubungan dengan pandangan ulamak setempat dan mengambil kira persekitaran masyarakat di sini yang amat memuliakan wanita serta menjaganya. Justeru itu, pihak kami amatlah berharap agar situasi ini dapat difahami oleh kita. Sementelah lagi kita semua berada di bumi orang yang jauh berbeza cara peradaban dan adat serta pengamalan Islam di bumi yang bertuah ini.

Justeru itu, dengan penegasan dan kenyataan ini diharapkan segala permasalahan dan persoalan yang telah ditimbulkan sebelum ini telah terjawab.

"Permaya Dihatiku"
"Ukhuwah Dierat Menjulang Syariat"

Yang benar,
Muhammad Nasiruddin Bin Othman
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2014/2015
15 Ogos 2014


1 comment:

  1. Assalamualaikum....
    Saya di Malaysia ingin bertanya tentang suasana di Yaman masakini. Saya ingin menghantara anak saya di Yaman untuk pengajian al-Quaran. Soalnya apa keadaan di Yaman masih aman buat masa ini untuk tujuan pengajian tersebut.
    Harap Ustad Muhd. Nasiruddin dapat menjawab soalan saya itu.

    Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete